Adakala
kita terfikir… Kita mungkin tidak pernah menyusahkan hidup sesiapa, kita
mungkin tidak pernah menganggu hidup orang dan tidak pernah pula membenci atau
menyakiti mereka. Namun tiba-tiba sahaja mereka membenci kita. Berkata-kata
buruk tentang kita di bekalang dan mengaturkan pelbagai strategi untuk
menyakitkan hati kita.
Sebagai
manusia biasa, kita tidak akan terlepas dari mempunyai kekurangan pada diri.
Mungkin pada cara kita bercakap, mungkin pada cara kita berjalan, mungkin pada
mata, mulut, hidung dan seumpamanya yang menyebabkan ada sesetengah orang tidak
suka, benci dan meluat melihat kita.
Jika mereka tidak berbuat apa-apapun mereka akan
cuba melarikan diri dari kita. Seolah-olah kita ini makhluk yang aneh atau
manusia yang tidak berguna, tidak perlu mendekati orang seperti kita. Keadaan
yang diceritakan ini semakin menjadi-jadi apabila perbuatan masing-masing mula
dizahirkan dalam Facebook.
Saya melihat ramai kawan-kawan yang me’remove’
kawannya yang menyakitkan hati. Hampir setiap hari juga saya melihat kenalan
Facebook memaki-maki, marah dan menulis status-status berkaitan dengan orang
yang dibenci dan orang membencinya. Apa sudah jadi dan apa yang harus kita
lakukan?
Berfikir & Renung Sejenak…
Muhasabah diri. Adakala sikap orang adalah cermin
kepada sikap kita sendiri. Mungkin kita rasa kita tidak menyakiti hati orang,
tetapi orang tetap terasa sakit. Carilah kelemahan pada diri yang mungkin kita
terlepas pandang dan perbetulkan kembali. Bertenang dan jangan membalas
kebencian mereka dengan terus membenci mereka.
Seandainya kita sememangnya tidak melakukan
kesilapan, kenapa mahu bersedih? Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang
benar. Jika mereka membenci kita dan menyakitkan hati kita, itu dosa mereka.
Kita tak rugi apa-apa, yang perlu kita sedih bukan sebab mereka membenci kita
tetapi jika kita membenci orang dan cuba menyakitkan hati mereka. Kerana
perbuatan itu akan membuatkan kita hampir dengan dosa.
Cukuplah Berbakti Kepada Orang Yang Wajib
Jika kita punyai kawan yang menyakitkan hati,
abaikan sahaja dirinya. Cukuplah berbakti kepada orang yang kita perlu taat
seperti ibu ayah, taat suami bagi seorang isteri dan taat kepada Allah sebagai
seorang manusia. Mereka yang tidak tersenarai dalam rantaian kewajipan kita
untuk taat itu kita boleh abaikan sahaja.
o Biarlah semua kenalan menolak kita yang
penting kita jaga suami kita dengan baik.
o Biarlah kawan-kawan meninggalkan kita
yang penting kita tidak meninggalkan keluarga.
o Biarlah seluruh kaum keluarga memulaukan
kita yang penting kita tidak memutuskan tali silaturrahim.
o Biarlah seluruh umat menyakitkan hati
kita yang penting kita tidak menyakitkan hati Allah.
Kebahagiaan terletak dalam hati.
Ia bergantung kepada kepercayaan kita. Seandainya kita percaya bahawa
dipulaukan orang adalah suatu yang menyedihkan, maka hidup kita akan terseksa.
Namun seandainya kita faham bahawa perbuatan terkutuk mereka dapat
menyumbangkan pahala yang banyak untuk bekalan akhirat, kita akan
bahagia. Biarlah manusia yang leka dengan sandiwara dunia dengan sikap
buruk mereka, yang penting jangan kita bersikap buruk pada mereka kerana hidup
kita untuk mencari kebahagiaan di sana. Bukan melayan persengketaan yang
sia-sia.